TINJAUAN lalulintas keluar masuk dari Singapura dan Johor Bahru, di Tambak Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
TINJAUAN lalulintas keluar masuk dari Singapura dan Johor Bahru, di Tambak Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


RAKYAT Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura akur dengan arahan kerajaan menutup pintu masuk negara selama 14 hari mulai tengah malam ini.

Bagaimanapun, dilema tercetus apabila pekerja Malaysia terpaksa membuat pilihan segera sama ada bercuti tanpa gaji selama 14 hari atau tinggal di Singapura sepanjang tempoh berkenaan.

Malah mereka mendakwa perlu membuat keputusan segera sebelum sempadan negara ditutup tengah malam ini.

Pembantu pengurus sebuah restoran di Orchard Road, Singapura, Muhammad Shafiq Abu Bakar, 28, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan itu dia terpaksa mengambil keputusan cuti tanpa gaji selama 14 hari.

“Walaupun berat tapi saya terpaksa ambil bagi mengelakkan tidak dibenarkan pulang ke Malaysia kerana isteri kini sedang mengandung.

“Keputusan itu diambil selepas majikan meminta kami rakyat Malaysia yang bekerja di sana segera membuat keputusan sama ada bercuti tanpa gaji atau tinggal sementara di republik itu bagi membolehkan operasi harian tidak terjejas,” katanya ketika ditemui di sini.

MUHAMMAD SHAFIQ ABU BAKAR. FOTO MOHAMED FARID NOH
MUHAMMAD SHAFIQ ABU BAKAR. FOTO MOHAMED FARID NOH

Mengikut statistik, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia kini mencari nafkah di Singapura dengan hampir 200,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu setiap hari menaiki motosikal.

Rakyat Malaysia berulang alik ke Singapura menerusi dua pintu masuk darat utama iaitu menerusi Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Bukit Chagar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) , Gelang Patah.

Tengah hari tadi, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, dilaporkan berkata, rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura dan Thailand dilarang berbuat demikian bermula esok.

Keputusan itu selari dengan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 hingga 31 Mac ini, di seluruh negara.

Sementara itu, P Shures, 39, yang baharu mendapat tawaran bekerja di gudang dan logistik sebuah syarikat di Singapura minggu lalu berkata, dia terpaksa menunggu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan berakhir, akhir bulan ini sebelum memulakan tugasnya.

Katanya, dia bimbang ekonomi keluarganya akan terjejas berikutan mempunyai banyak komitmen.

“Saya sebenarnya diberhentikan kerja di Singapura sejak Ogos tahun lalu dan hanya menyara keluarga bekerja secara sambilan sambilan di Johor Bahru kerana sukar mencari kerja tetap ketika ini.

“Bagaimanapun saya akur dengan arahan kerajaan kerana ia bagi kebaikan rakyat Malaysia juga namun kami sekeluarga pula bertahan buat sementara waktu, ” katanya.

Bagi warga Singapura yang menetap di Johor Bahru, Noor Aishah Mohd Ali, 58, dia dan suaminya memutuskan untuk terus berada di negeri ini sepanjang tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya bekerja sebagai tukang urut profesional di Singapura dan berulang alik jika menerima tempahan pelanggan khususnya ibu yang baru bersalin.

“Bagaimanapun dengan arahan ini, saya terpaksa menolak semua tempahan sehingga akhir bulan dan kembali bertugas apabila keadaan sudah reda, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:37 PM