Michael Tay Chee Boon.
Michael Tay Chee Boon.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Malaysia dan Singapura disarankan mengeluarkan pasport vaksin khas kepada pekerja Malaysia di Singapura bagi membolehkan mereka yang sudah divaksin di republik itu berulang-alik antara dua negara setiap hari seperti dahulu.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, ia selaras dengan cadangan kerajaan memberikan kira-kira 100,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari, menjadi antara penerima vaksin fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau yang juga Ketua Kaukas Pandemik MCA berkata, pihaknya menerima banyak rintihan rakyat Malaysia yang terkandas di republik itu untuk pulang bertemu keluarga, selain memeriksa kediaman dan harta benda yang sudah setahun ditinggalkan.

Katanya, ia berikutan tidak ramai yang mampu mengikut program khas gelembung perjalanan antara dua negara yang diperkenalkan sebelum ini kerana memerlukan belanja besar selain cuti panjang hampir sebulan, yang sukar diperoleh.

"Pasport vaksin ini jika dipersetujui antara Malaysia dan Singapura akan membolehkan rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu untuk berulang-alik seperti dahulu.

"Ia sekali gus akan memberi kelegaan perasaan kepada ratusan ribu pekerja Malaysia di Singapura yang sudah terkandas di republik itu genap setahun hari ini.

"Namun, saya sarankan kerajaan supaya menaikkan jumlah penerima vaksin kepada 300,000 pekerja Malaysia di Singapura yang masih belum divaksin di republik itu secara berperingkat bagi membolehkan sempadan mulai dibuka kepada mereka untuk berulang-alik setiap hari.

"Selepas lebih setahun sempadan negara termasuk Malaysia-Singapura ditutup, ramai pekerja Malaysia di Singapura sebenarnya mengalami tekanan perasaan dan kemurungan berikutan hanya 'bertemu' keluarga sama ada secara panggilan video atau telefon sahaja," katanya ketika dihubungi.

Hari ini, genap setahun sempadan negara terutama membabitkan Malaysia dan Singapura ditutup akibat pandemik Covid-19.

Pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac tahun lalu bagi menghentikan penularan wabak berkenaan menyebabkan penutupan semua pintu sempadan termasuk Tambak Johor yang disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia, kini lenggang dan sepi.

Bulan lalu, kerajaan Johor bercadang memperkenalkan gelembung perjalanan khas kepada penerima vaksin sebagai permulaan pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata, cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan supaya dapat dibincangkan dengan lebih lanjut.

Gelembung perjalanan khas terhadap penerima vaksin antara Malaysia-Singapura disarankan diperkenalkan memandangkan semua penerima akan menerima sijil vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:07 PM