KEADAAN Tambak Johor lengang ekoran Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Omar Ahmad
KEADAAN Tambak Johor lengang ekoran Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Omar Ahmad
Rosyahaida Abdullah

“JIKA tiada urusan mendesak, mungkin saya juga masih tinggal di sana. Kalaupun gaji akan dipotong untuk tujuan penyediaan penginapan untuk saya, saya akur asalkan tidak hilang kerja,” kata Mohamad Ambia Yusof.

Mohamad, 28, antara rakyat Malaysia yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura untuk bekerja setiap hari sejak tiga tahun lalu dan terpaksa mengambil keputusan tinggal di negara itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Susulan lanjutan PKP selama dua minggu lagi, Mohamad mengakui akur jika gajinya dipotong untuk tujuan pembayaran penginapan sementara disebabkan bantuan sebanyak SD50 atau kira-kira RM150 sehari oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura untuk pekerja asing khususnya Malaysia hanya diberikan sehingga 31 Mac iaitu hari ini.

Bagaimanapun, penyelia syarikat makanan dan minuman ini terpaksa pulang ke Johor Bahru semalam (Ahad) atas urusan peribadi yang perlu diselesaikan segera dan sedia maklum peraturan untuk melakukan kuarantin sendiri selama dua minggu di rumah.

“Alhamdulillah, majikan memahami keperluan saya untuk pulang ke sini (Johor Bahru) dan dia juga minta saya maklumkan padanya jika saya boleh kembali bertugas seperti biasa apabila tamat tempoh kuarantin nanti.

“Ini kerana selain kekurangan kakitangan, majikan juga perlu melakukan permohonan kepada MOM dan ICA (Pihak Berkuasa Kastam dan Imigresen) Singapura membolehkan saya kembali ke sana pada waktu begini (Covid-19),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Jelas Mohamad, jika semuanya berjalan lancar, dia akan terus kembali ke Singapura selepas habis tempoh kuarantin dan turut melakukan kuarantin sama di negara itu sebelum boleh mula bekerja.

“Bukan mudah untuk saya dapat kerja di Singapura. Ketika permit kerja saya selama dua tahun tamat tempoh, hanya selepas berkali-kali majikan saya mohon untuk perbaharui permit itu barulah MOM luluskan.

“Ramai lagi rakan saya yang turut sama bekerja di Singapura tidak kisah gaji mereka dipotong bagi membiayai kos penginapan sepanjang PKP kerana lebih baik ada kerja berbanding tiada langsung, PKP bukan untuk selamanya.

“Setakat ini pun, layanan pihak imigresen baik Malaysia mahupun Singapura sangat baik, mereka memahami keperluan saya untuk melalui sempadan semalam namun penat juga berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer dari Woodland ke CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) kerana pengangkutan awam tidak lagi beroperasi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja Malaysia di Singapura dikenali sebagai Ika berkata, dia mungkin bertuah kerana walaupun PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini, majikan turut mengambil inisiatif menyediakan asrama sehingga tarikh itu.

“Ini inisiatif majikan saya, bukan bantuan disediakan kerajaan (Singapura).

“Saya sekarang berada di Singapura dan bercadang balik ke Johor Bahru hujung minggu ini untuk jumpa suami dan anak. Menurut rakan saya yang baru saja pulang ke sana, setakat ini kami boleh saja pulang cuma perlu kuarantin diri mengikut ketetapan kerajaan Malaysia,” katanya.

Difahamkan, lebih 200,000 pekerja Malaysia bekerja di Singapura dan berulang-alik ke republik itu setiap hari sebelum PKP dilaksanakan.

Susulan PKP, kerajaan Singapura pada 17 Mac mengumumkan bantuan kewangan kepada majikan berjumlah SD50 semalam selama 14 malam bagi setiap pekerja yang terjejas dengan perintah terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 4:02 PM