Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Nurul Hidayah Bahaudin


KEPUTUSAN pandangan hukum berikutan penularan Covid-19 akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan serta Raja Negeri-Negeri bagi mendapat perkenan untuk tindakan lanjut.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ahli muzakarah juga sudah meneliti pembentangan kajian pandangan hukum oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa al-Zuhaili (ACE), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Dr Aizam Mas’od.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) diadakan di hotel di Putrajaya bagi membincangkan beberapa pandangan hukum berikutan penularan wabak Covid-19 bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan dihadiri semua mufti negeri atau wakilnya, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan wakil Majlis Agama Islam Negeri.

“Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman yang menyampaikan taklimat terkini berkenaan Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengadakan perbincangan bersama pimpinan jemaah tabligh Malaysia yang berlangsung secara sidang video dikendalikan Noor Hisham.

Katanya, beliau turut mengucapkan penghargaan atas kerjasama penuh dan komitmen jemaah tabligh Malaysia dalam menangani penularan Covid-19.

“Umat Islam di Malaysia diingatkan supaya mematuhi semua makluman daripada KKM, Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing yang disampaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 9:33 PM