MOHD YUSOF AHMAD
MOHD YUSOF AHMAD
Mohd Amin Jalil


JAWATANKUASA Fatwa Negeri Sembilan membuat ketetapan bahawa semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat berjemaah dan Jumaat ditangguhkan bagi tempoh 10 hari bermula esok.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dalam satu kenyataan di Seremban hari ini menjelaskan ketetapan itu dibuat berdasarkan kepada taklimat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan perbincangan dalam kalangan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang semalam.

Menurutnya, situasi terkini wabak Covid-19 dilihat semakin kritikal susulan gelombang kedua penularan susulan perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Muzakarah berpandangan bahawa semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat perlu ditangguhkan bagi tempoh 10 hari sehingga 26 Mac ini.

“Dalam tempoh itu, semua masjid dan surau dinasihatkan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan.

“Tempoh berkenaan akan dilanjutkan atau ditamatkan selepas 10 hari itu tertakluk kepada nasihat dan pandangan KKM nanti,” katanya.

Mohd Yusof berkata, dalam keadaan sekiranya berlaku kematian akibat virus Covid-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 dan 11 Februari 2015.

“Ia mengenai hukum pengurusan jenazah bagi orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus Ebola di Malaysia iaitu pengecualian dan kelonggaran sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah itu.

“Dalam hal berkenaan dibolehkan jenazah itu diuruskan melalui prosedur tayyammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah berkenaan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, dalam melaksanakan ketetapan itu, muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 2:16 PM