Sebahagian umat islam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diuruskan oleh Pengurusan Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika tinjauan di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. FOTO AZHAR RAMLI
Sebahagian umat islam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diuruskan oleh Pengurusan Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika tinjauan di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. FOTO AZHAR RAMLI
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Kerajaan sentiasa berusaha meminimumkan perbezaan dan menyeragamkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti pengimarahan masjid dan surau bagi mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, penambahanbaikan dalam SOP solat itu dilakukan menggunakan kaedah muzakarah antara mufti dan pihak berkuasa agama negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

Beliau berkata, muzakarah itu diadakan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan sekali bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam termasuk solat dan sebagainya.

"Jadi apa sahaja SOP baharu, kita akan sentiasa kemas kini berdasarkan situasi semasa, namun tidak banyak perubahan dalam SOP sekiranya jangkitan Covid-19 masih tinggi.

"Mengenai langkah kerajaan negeri Pahang membenarkan kehadiran jemaah belum menerima suntikan vaksin menunaikan solat Jumaat dan fardu, itu terpulang kepada pihak berkuasa agama negeri.

"Kalau mengikut SOP di peringkat Wilayah Persekutuan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, (kebenaran solat) mesti melengkapkan vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Inspirasi Qaseh Kami: Food Bank YaPEIM 3.0 di Kemaman di pekarangan Stesen Teksi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Pahang membenarkan kehadiran jemaah yang belum menerima suntikan vaksin menunaikan solat Jumaat dan fardu berdasarkan SOP baharu, berkuat kuasa Rabu lalu.

Ketika ditanya mengenai isu gangguan seksual yang dikaitkan dengan seorang pendakwah terkenal, Ahmad Marzuk berkata, tiada sesiapa termasuk golongan agamawan akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti melakukan kesalahan.

Katanya, masyarakat seharusnya bertenang dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa serta tidak mendahului keputusan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 2:59 PM