TAUFIK memancing udang galah di Sungai Ramuan Cina. FOTO Hassan Omar
TAUFIK memancing udang galah di Sungai Ramuan Cina. FOTO Hassan Omar
BLACK muncul lima meter dari perahu Taufik ketika dia memancing udang galah di Sungai Ramuan Cina.
BLACK muncul lima meter dari perahu Taufik ketika dia memancing udang galah di Sungai Ramuan Cina.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kaki pancing udang galah di beberapa sungai di Lubok Cina, di sini, semakin kerap bertembung dengan penunggu sungai itu yang digelar 'Black.'

Buaya sepanjang kira-kira lima meter itu dikenali ramai kerana sering mempamerkan dirinya kepada pemancing dengan berenang berhampiran perahu.

Dalam kejadian 8 pagi tadi, kaki pancing, Taufik Ramli, 28, 'disapa' buaya besar itu ketika memancing udang galah di Sungai Ramuan Cina di sini.

"Saya mula memancing pada 7.30 pagi dan udang galah mula memakan umpan kira-kira 10 minit kemudian.

"Setengah jam kemudian, saya ternampak kelibat sang bedal muncul lima meter dari perahu saya," katanya di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini.

Taufik berkata, dia menarik nafas lega selepas mendapati sang bedal yang berenang menghampiri perahunya itu adalah 'Black' sebelum reptilia itu berlalu pergi tanpa melakukan sebarang perkara yang mengancam keselamatannya.

Buaya itu kadang kala muncul di Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau dan Kuala Linggi tanpa membahayakan kaki pancing.

"Alhamdulillah, setakat ini belum ada kaki pancing atau nelayan sepenuh masa diserang Black atau sang bedal yang lain. Kami sering diingatkan oleh nelayan supaya sentiasa menjaga kata-kata.

"Pantang kita bercakap besar, apatah lagi mencabar sang bedal yang menghuni sungai ini sejak zaman nenek moyang kami dulu," katanya.

Katanya, ketika air surut, kaki pancing berpeluang menyaksikan sang bedal bersidai di tebing sungai dan kadang kala berjam-jam tanpa bergerak ke mana-mana.

Sungai Ramuan Cina, Sungai Rembau, Sungai Timun dan beberapa sungai lain berada dalam daerah Masjid Tanah, Melaka dan Rembau, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 4:15 PM