NOOR Azam (kiri) beramah mesra bersama pelatih terbaik pada Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di Dataran Kawad, IPK Sabah, Kepayan, Kota Kinabalu.FOTO Juwan Riduan
NOOR Azam (kiri) beramah mesra bersama pelatih terbaik pada Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di Dataran Kawad, IPK Sabah, Kepayan, Kota Kinabalu.FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menggalakkan penyertaan lebih ramai masyarakat Tionghua dan India dalam pasukan keselamatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ini dapat dilihat pada upacara perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Siri 8/2019 hari ini.

“Seramai 248 pelatih dengan pecahan 90 pelatih dari Semenanjung, 130 pelatih dari Sabah dan 28 pelatih dari Sarawak menamatkan latihan.

“Daripada jumlah itu, kaum Melayu membabitkan 90 orang, lain-lain Bumiputera seramai 154 manakala kaum Tionghua dan India masing-masing hanya dua orang.

“Kita lihat di sini, penyertaan dalam kalangan masyarakat Tionghua dan India begitu sedikit. Kita perlukan lebih ramai dalam kalangan masyarakat ini menyertai PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan upacara berkenaan di dataran kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) PDRM Bukit Aman Datuk Nerita Yaacob dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti IPK Sabah Datuk Ahmad Fadzillah Mohamed mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass.

Noor Azam berkata, negara yang memiliki komposisi penduduk yang berbilang kaum memerlukan pembabitan mereka dalam pasukan keselamatan.

“Kita perlukan penyertaan kaum Tionghua dan India. Ini kerana jumlah empat pelatih dalam PLAK Siri 8/2019 hari ini terlalu kecil,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai upacara itu, beliau berkata, semua pelatih berkenaan mula menjalani latihan asas konstabel di Pusat Latihan Polis Kota Kinabalu bermula 8 September 2019 dan latihan berkenaan memakan masa enam bulan.

“Mereka akan ditempatkan di kontinjen-kontinjen yang sudah ditetapkan.

“Kami harap pelatih ini dapat berkhidmat dengan penuh dedikasi demi menggalas amanah menjaga keselamatan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 2:29 PM