Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia buat pembaca budiman. Siri Pusat Latihan Polis saya sambung minggu ini dengan Pusat Latihan Polis Langkawi yang ditubuhkan pada 2010. Ia terletak di Mukim Padang Matsirat, Langkawi, Kedah, yang terkenal dengan panggilan ‘Permata Kedah.’

Dengan keluasan 13.23 hektar dan mengadap Lautan Andaman di bahagian baratnya, PULAPOL Langkawi adalah satu-satunya pusat latihan polis yang berada di sebuah pulau.

Pusat latihan ini juga dalam kawasan strategik kerana berdekatan dengan Hotel Century Langkasuka, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAB) yang menjadi pintu masuk utama ke Pulau Lagenda ini.

Sejarah penubuhan PULAPOL Langkawi bermula dengan pengubahsuaian untuk tujuan menaik taraf infrastuktur pusat peranginan Delima Resort pada 24 Disember 2007.

Pada Mac 2010, kerja pengubahsuaian siap sepenuhnya dan diserahkan pihak kontraktor kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Seterusnya pada 29 Julai 2010, bangunan ini diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dijadikan Pusat Latihan Polis PDRM yang ke-6.

Sejak 1 Julai 2010, tiga komandan diberi tanggungjawab untuk menerajui pusat latihan ini iaitu Superintendan Abd Latif Yunus (1 Julai 2010 hingga 16 Oktober 2012), Asisten Komisioner Arif @ Aris Bin Omar (16 Oktober 2012 hingga 15 Mac 2016) dan Asisten Komisioner Baljeet Singh Kartar Singh yang mengambilalih pucuk pimpinan dari 15 Mac 2016 sehinggalah sekarang.

Selain menaik taraf struktur sedia ada, pembinaan bangunan baru turut dilaksanakan yang merangkumi sebuah bangunan asas empat tingkat, sebuah Dewan Auditorium dengan kapasiti 550 orang dan sebuah surau yang boleh memuatkan 800 jemaah.

Surau PULAPOL Langkawi yang dikenali sebagai Surau Al-Hikmah ini mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) pada 24 Januari 2010 untuk melaksanakan solat Jumaat.

Kemudahan lain yang turut terdapat di pusat latihan ini adalah sebuah Mes Pegawai Kanan satu tingkat yang mengandungi lima bilik VIP, 22 bilik Pegawai Kanan serta tiga bangunan asrama lima tingkat untuk peserta kursus dan pelatih yang boleh menampung seramai 600 orang pada satu masa.

Kemudahan lain yang disediakan adalah dua unit rumah setingkat kelas C, 10 unit rumah dua tingkat kelas D, 25 unit rumah pangsa lima tingkat kelas E dan 150 unit rumah pangsa lima tingkat kelas F.

Terdapat juga sebuah bangunan persenjataan yang menempatkan stor senjata dan amunisi, balai pengawal, pondok pengawal serta sub-stesen elektrik.

Selain itu, turut disediakan kemudahan seperti dewan makan, dewan bankuet, bilik rawatan, kedai keperluan pelatih, perkhidmatan dobi dan kemudahan lain khusus bagi keselesaan penghuni.

PULAPOL Langkawi turut dilengkapi sebuah padang kawad dengan keluasan 38,911 kaki persegi yang mampu memuatkan 600 orang pelatih pada satu-satu masa untuk pelbagai acara seperti Perbarisan Tamat Latihan, latihan kawad, Kawad Komandan, senamrobik, riadah dan aktiviti lain.

Di samping itu, PULAPOL Langkawi yang mempunyai kemudahan sukan/riadah seperti gelanggang futsal, padang bola sepak, gelanggang bola tampar dan dewan badminton sejajar dengan kehendak pucuk pimpinan PDRM dalam membentuk warga polis yang mengekalkan kecergasan dan kecerdasan, selaras dengan dasar pasukan di bawah program Trim & Fit.

Pusat latihan ini dibangunkan bagi tujuan melatih rekrut baru untuk penugasan di seluruh negara menerusi Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel selama enam bulan, Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan selama empat bulan dan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) selama dua bulan.

Modul latihan yang dilalui oleh pelatih merangkumi modul undang-undang, pengendalian senjata api, latihan kawad, latihan jasmani, program rohani dan sahsiah diri.

PLAK yang dibentuk melalui metodologi dan modul latihan bertujuan untuk pembentukan sahsiah diri dan jati diri setiap pelatih melalui konsep ASKD yang menekankan aspek A-Attitude (sikap), S-Skill (kemahiran), K-Knowledge (pengetahuan) dan D-Discipline (disiplin).

Pelaksanaan latihan yang dijalankan dengan penuh sistematik dan teratur diharap dapat melahirkan pegawai polis yang lebih berwibawa dan profesional, selaras dengan falsafah latihan yang menekankan aspek seperti semangat berpasukan atau esprit de corps, berdisiplin tinggi, pembentukan fizikal dan mental yang kuat, kepatuhan terhadap arahan, berkepimpinan dan kesetiaan kepada pasukan.

Pelatih turut didedahkan dengan modul latihan amali atau ‘On Job Training’ seperti Rondaan Cegah Jenayah di pekan Kuah dan Pantai Cenang, Langkawi bertujuan memberi kefahaman skop penugasan selain berinteraksi dengan masyarakat setempat secara profesional.

Modul jasmani turut membabitkan aktiviti luar seperti Mara Lasak dan Mendaki Gunung Raya.

PULAPOL Langkawi menerima kumpulan pelatih yang pertama melalui Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) pada 15 Januari 2011 membabitkan 200 orang daripada Malaysia Airport Holding Berhad dan pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) seramai 300 orang pada 23 Januari 2011.

Selain itu, PULAPOL Langkawi juga sering menjadi pilihan bagi melaksanakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) oleh agensi kerajaan lain serta pihak swasta.

Kapasiti maksimum pelatih dan peserta kursus yang boleh ditampung adalah 600 orang dalam satu-satu masa.

Sejak penubuhan PULAPOL Langkawi dari 2010 sehingga April 2017, seramai 1,292 orang pelatih PLAK Konstabel, pelatih PLAK Konstabel Sokongan 653 orang dan pelatih KAPB 3,669 orang menjalani latihan asas di pusat latihan ini.

Pada 2015, PULAPOL Langkawi mendapat pengiktirafan taraf empat bintang oleh KDN bagi Pengurusan Laporan Indeks Kewangan - Pelaksanaan Firm 2015 Fasa 2.

PULAPOL Langkawi menyertai pertandingan anugerah Inovasi Peringkat PDRM dengan memperkenalkan CCTV Mudah Alih bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan aset dan kawasan PULAPOL Langkawi melalui penggunaan telefon mudah alih dan CCTV oleh anggota yang melaksanakan kawalan keselamatan dan pegawai bertugas.

Hasil daripada cetusan idea itu, PULAPOL Langkawi memenangi tempat kedua Anugerah Inovasi PDRM dan terpilih untuk bertanding di peringkat KDN bagi 2016.

PULAPOL Langkawi juga menjadi pilihan agensi luar dalam melaksanakan pelbagai ujian dan kajian, antaranya pembinaan prototaip kincir angin bagi tujuan penjanaan kuasa elektrik melalui kuasa angin.

Program anjuran bersama oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Table Top Exercise Tsunami, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) ini diadakan pada 7 September 2016 yang dihadiri oleh wakil agensi teknikal dan pengurusan bencana negara bertujuan memberi latihan dalam mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana tsunami.

PULAPOL Langkawi juga mengadakan pelbagai program yang berkonsepkan Community Policing bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara polis dengan masyarakat sejajar tema Hari Polis ke-210 ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Antara program yang dilaksanakan adalah majlis berkhatan beramai-ramai bersama penduduk yang kurang berkemampuan, Gotong Royong Perdana, Ceramah Perdana, Program Derma Darah, Pembersihan Pantai Cenang, Program Penanaman Pokok Paya Bakau di Pulau Tuba anjuran bersama Jabatan Perhutanan Langkawi yang diiktiraf Malaysia Book Of Records sebagai Program Penanaman Pokok Paya Bakau Terbesar pada 2014, Revive Green Pantai Cenang dan Meet and Greet di Pantai Tanjung Rhu bersama penduduk setempat.

Saya amat berbangga dengan prestasi dan kemampuan yang ditunjukkan oleh Pusat Latihan Polis Langkawi dalam melahirkan warga PDRM yang bersifat Multi-Tasking dan Multi Skills dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.

Saya juga yakin PULAPOL Langkawi serta lain-lain pusat latihan polis yang ada berupaya membentuk generasi baru PDRM yang mampu mendokong aspirasi ke arah World Class Policing.

Insya-Allah, kita bertemu lagi di minggu hadapan.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:09 AM