Tan Sri Khalid Abu Bakar

Selamat bertemu kembali saya ucapkan kepada pembaca budiman. Bagi meneruskan catatan saya dalam siri Pusat-Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM), minggu ini saya akan berbicara mengenai Pulapol Kuala Lumpur yang dikenali umum sebagai PULAPOL KL.

Institusi latihan ini terletak di Jalan Sultan Yahya Petra, 54100 Kuala Lumpur (dulunya dikenali dengan Jalan Semarak) dan berkeluasan 249.5 ekar (100.96) hektar termasuk kawasan Kelab Golf PDRM. PULAPOL KL boleh menampung 2,200 pelatih dalam satu-satu masa.

Sebagai sebuah institusi latihan yang ulung, ia membawa mandat untuk melahirkan pegawai polis yang terlatih, di samping mengendalikan pelbagai upacara rasmi seperti Perbarisan Hari Polis, Paluan Berundur, lawatan daripada polis luar negara dan lain-lain upacara rasmi jabatan.

VISI PULAPOL ialah untuk Melahirkan Pegawai-Pegawai Yang Cekap, Cergas Dan Cerdas Melalui Kecemerlangan Latihan. MISInya pula Menjadikan PULAPOL Sebagai Sebuah Pusat Latihan Utama Ke Arah Pembangunan Modal Insan Polis Diraja Malaysia. Manakala moto yang didukung ialah TITIK PERMULAAN KECEMERLANGAN PASUKAN POLIS.

Dalam mencapai objektif kewujudannya, PULAPOL KL mengendalikan pelbagai kursus dengan tujuan yang ditetapkan seperti berikut:-

A. KURSUS ASAS

l

Ejen Pertukaran – Membentuk seorang awam untuk menjadi pegawai polis yang mempunyai sifat yang bersesuaian dengan kerjaya kepolisan

l

Membentuk seorang pegawai polis yang mempunyai kecerdasan mental kental agar dapat mengatasi segala cabaran yang akan dihadapi semasa menjalankan tugas.

B. KURSUS DALAM PERKHIDMATAN

l

Meningkatkan tahap kecekapan pegawai polis supaya dapat memberi perhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat, sejajar dengan realisasi objektif negara.

l

Menambah ilmu pengetahuan agar pegawai polis dapat dipupuk dengan nilai positif terhadap tugas kepolisan

l

Mewujudkan semangat setiakawan (esprit de corps) dalam pasukan serta menanam semangat cintakan negara.

Kursus yang ditawarkan/ dijalankan di pusat latihan ini merangkumi:

A. Kursus Dalaman

i. Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) bagi Kadet Inspektor.

ii. Kursus Jurulatih Kawad

iii. Kursus Renang

iv. Kursus Menembak

v. Kursus Seni Mempertahankan Diri

vi. Kursus Bugle

B. Kursus Luaran

i. Kursus Asas Polis Bantuan (PB)

ii. Kursus Asas Certified Security Guard (CSG)

Sejarah PULAPOL bermula pada 20 November 1904, hasil usaha Kapten Graham iaitu bekas Pegawai Malay States Guides. Kedudukan asalnya di Bluff Road yang sekarang terletaknya Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. Kawasan ini asalnya bekas Ibu Pejabat Malay States Guides yang strategik di Kuala Lumpur. Pengambilan pelatih pertama kali ialah pada 1905, membabitkan 207 pelatih berbangsa Melayu dan 219 pelatih berbangsa India.

Pada sekitar 1920, satu usaha untuk mencari tapak bagi membina Pusat Latihan Polis yang baru dilaksanakan ekoran perkembangan penugasan Pasukan Polis yang memerlukan penambahan anggota, di samping kedudukan pusat latihan sedia ada yang berbukit serta tidak memiliki kemudahan yang mencukupi. Bagaimanapun, usaha ini tertangguh ekoran kegawatan ekonomi sebelum ia dikaji semula lima tahun kemudian.

Impian ini menjadi kenyataan apabila satu kawasan strategik di Jalan Gurney (dulunya Jalan Semarak dan kini Jalan Sultan Yahya Petra) dikenal pasti dan kerja pembinaan dimulakan pada sekitar 1930-an. Bagaimanapun, kerja itu tergendala di atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Pada 1936, kerja pembinaan disambung semula.

Pusat Latihan Polis di Jalan Bluff dipindah secara rasminya ke Pusat Latihan Polis di lokasi sekarang pada Oktober 1940. Pengambilan pelatih tergendala ekoran kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941 dan anggota polis yang bertugas di pusat latihan ini ditukarkan ke tempat lain bagi mematahkan serangan tentera musuh. Dengan kejatuhan Tanah Melayu, Pusat Latihan Polis ini dijadikan sebagai Markas Kompetai Jepun yang terbesar. Apabila Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945, pusat latihan ini diambil alih oleh British dan disusun semula strukturnya untuk dijadikan sebagai pusat latihan terbesar di mana dapat menyediakan latihan asas mengenai pengurusan kepolisian secara teori dan praktikal. Pucuk pimpinan sebagai Komandan Pusat Latihan Polis selepas pemerintahan Jepun diserahkan kepada Mr J D Fairhead pada 1945 hingga 1946. Dari 1946 hingga 1957, semua Komandan Pusat Latihan Polis adalah daripada pegawai British.

Selepas mencapai kemerdekaan pada 1957, pucuk pimpinan Pusat Latihan Polis bertukar tangan kepada anak watan. Anak Melayu pertama menjadi Komandan Pusat Latihan Polis ini ialah Tuan Merican Sutan. Beliau memegang jawatan ini dari 25 November 1957 hingga 24 November 1959. Mulai 1940 hingga 2007, pusat latihan ini diterajui oleh seramai 44 orang Komandan. Pada 1977, institusi ini dikenali sebagai PULAPOL (Pusat Latihan Polis) dan kini diterajui oleh SAC Shamsudin Mat.

Sebagai sebuah institusi latihan yang mempunyai sejarah gemilangnya tersendiri, saya yakin PULAPOL KL akan terus berkembang maju sebagai salah satu pusat latihan polis yang dapat melahirkan pegawai polis yang mampu memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat. Semoga moto TITIK PERMULAAN KECEMERLANGAN PASUKAN POLIS akan menjadi azimat kepada PULAPOL KL untuk mencapai visi dan misi yang didukung.

Insya-Allah, kita bertemu lagi di minggu hadapan bagi saya meneruskan siri Pusat-Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 5:56 AM