SEORANG lelaki warga emas, Abdullah Senan, 69 (baju oren) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bachok, hari ini atas dakwaan cuai hingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera ketika berburu di Bukit Kampung Gong Genor, Pasir Puteh, bulan lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEORANG lelaki warga emas, Abdullah Senan, 69 (baju oren) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bachok, hari ini atas dakwaan cuai hingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera ketika berburu di Bukit Kampung Gong Genor, Pasir Puteh, bulan lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


WARGA emas didakwa di Mahkamah Majistret Bachok, hari ini atas dakwaan kecuaian sehingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera ketika berburu di bukit Kampung Gong Genor, Pasir Puteh, bulan lalu.

Tertuduh, Abdullah Senan, 69, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dinie Syazwan Ab Shukor.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuai hingga menyebabkan kematian Mohd Sazuki Shafeii, 48, di bukit Kampung Gong Genor, Pasir Puteh antara jam 6.30 petang hingga 7.30 malam pada 29 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-keduanya.

Dalam tuduhan kedua, pada masa, tarikh dan lokasi yang sama tertuduh didakwa menggunakan selaras senapang patah tanpa jenama tanpa lesen atau permit yang sah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Adha Amir Yasser Amri mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.

“Saya mohon jumlah jaminan yang wajar bagi mencerminkan kepentingan awam kerana kes membabitkan kematian,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon jaminan dikurangkan kerana penanggung tunggal keluarga dan mempunyai anak masih bersekolah.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Dalam perkembangan sama, dua rakan tertuduh juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) didakwa melanggar syarat permit senjata dengan menggunakan Shot Gun 12 Bore berjenama Harington milik jabatan untuk memburu pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Mohd Shukri Mohd Razali, 51, mengaku salah manakala Raja Deraman Raja Ahmad, 51, mengaku tidak bersalah masing-masing atas dakwaan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka dibenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pesara tentera maut selepas selepas terkena tembakan ketika berburu bersama rakannya dalam kejadian di sebuah bukit di Kampung Gong Genor, Pasir Puteh.

Lelaki berusia 69 tahun itu dipercayai tertembak mangsa Mohd Sazuki Shafeii, 48 yang disangka binatang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 5:53 PM