GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI ditahan selepas tertembak mati rakannya ketika berburu di kawasan Hutan Kampung Sungai Pening, Semenyih, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan dibuat lelaki yang juga rakan kepada mangsa dan suspek pada 8.30 pagi kelmarin.

"Siasatan mendapati mangsa, 40, dan suspek, 44, pergi ke kawasan hutan itu kira-kira 1 pagi sebelum kedua-dua lelaki berkenaan kemudian berpecah.

"Suspek dipercayai tertembak mangsa kira-kira 6 pagi kerana menyangka rakannya itu adalah babi hutan memandangkan kawasan hutan terbabit gelap," katanya dalam satu kenyataan di Kajang, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan pihak forensik mendapati terdapat lapan kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri dan sembilan kesan tembakan di lengan kiri mangsa.

"Mangsa dan suspek menggunakan dua senapang patah buatan sendiri untuk berburu.

"Kami merampas dua senapang sepanjang kira-kira 129 sentimeter itu bersama tujuh peluru hidup dan ‘12 bore’," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Hasil bedah siasat dilakukan di Unit Forensik Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan luka tembakan di bahagian dada.

"Perintah tahanan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Kajang selama tujuh hari bermula 2 hingga 9 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 3:21 PM