GAMBAR yang dihantar mangsa kepada rakannya beberapa minit sebelum mangsa tertembak diri sendiri di Kampung Perlis, Tikam Batu, di Sungai Petani. FOTO Nor Farhani Che Ad
GAMBAR yang dihantar mangsa kepada rakannya beberapa minit sebelum mangsa tertembak diri sendiri di Kampung Perlis, Tikam Batu, di Sungai Petani. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


“PETANG sehari sebelum kejadian, arwah ada keluar menembak binatang di hutan seorang diri dan balik pada waktu sudah senja.

“Jadi, arwah tak sempat cuci senapangnya dan arwah cuci keesokan hari (hari kejadian), memang kebiasaan arwah akan mencuci senapangnya itu selepas digunakan,” kata Bashah Zakaria, 60, isteri kepada peniaga, Shukor Ahmad, 59, yang meninggal dunia akibat tertembak diri sendiri ketika sedang mencuci senapang miliknya di Kampung Perlis, Tikam Batu, semalam.

Bashah berkata, ketika kejadian, dia menyangka suaminya menembak tupai atau sebarang binatang membuatkan dia terpanggil untuk melihat binatang yang ditembak suaminya itu.

“Selalunya kami akan duduk berehat di beranda rumah pada waktu petang, namun pada hari kejadian saya tidak menemani arwah kerana ketika itu saya sedang membaca surat khabar di dalam bilik tidur.

“Tiba-tiba saya mendengar bunyi tembakan di luar, saya menyangka arwah menembak tupai atau sebarang binatang.

“Saya keluar untuk melihat binatang yang ditembak, namun terkejut bila mendapati suami sudah dalam keadaan tersembam sambil senapangnya berada di celah kaki,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Sungai Petani, hari ini.

Bashah berkata, suaminya mempunyai minat menembak sejak usia muda dan mula memiliki senjata itu sejak 1994 bertujuan bagi menjaga dusun yang mereka miliki.

Berikutan itu, dia berasa agak terkejut dan tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa suaminya memandangkan arwah sudah lama menggunakan senjata itu.

“Arwah tidak mempunyai masalah pelupa dan hanya mengidap penyakit kencing manis sahaja.

“Bagaimanapun, saya tetap pasrah dan reda dengan apa yang berlaku, mungkin sudah ajalnya meninggal dunia dengan cara sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan arwah sempat menghantar sekeping gambar dirinya bersama senapangnya kepada seorang rakannya beberapa minit sebelum kejadian berlaku.

Usaha menemubual rakan mangsa itu tidak berjaya kerana dia enggan ditemubual.

Semalam Harian Metro melaporkan mangsa dipercayai tertembak diri sendiri dengan senapang jenis Benelli di beranda rumahnya.

Mangsa dipercayai mencuci senjata itu dalam keadaan duduk di kerusi sebelum tertembak di bawah dagu sebelah kiri berdasarkan kedudukan mayat dan kecederaan yang dialami.

Berita berkaitan

Ajal di muncung senapang sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 12:04 PM