Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Kebimbangan penduduk di daerah Marang dan Dungun dengan kehadiran beruang matahari yang merosakkan sarang madu kelulut berakhir selepas binatang itu memasuki perangkap.

Beruang matahari jantan seberat 70 kilogram (kg) memasuki perangkap pada jam 4 pagi tadi di Kampung Pengkalan Berangan, Marang manakala seekor lagi beruang jenis sama seberat 80 kg memasuki perangkap yang dipasang di Batu Tiong, Dungun pada 10.30 malam tadi.

Pesara guru, Ali Yusof, 60, dari Kampung Pengkalan Berangan, Marang berkata, kehadiran beruang itu mula disedari pada 15 Januari lalu selepas beberapa sarang madu kelulut dirosakkan.

"Pada mulanya saya ingatkan kerosakan itu kerana babi tetapi isteri yang sedang menjemur kain ternampak binatang itu pada 27 Januari lalu sebelum memaklumkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

"Pihak PERHILITAN datang memasang perangkap pada Khamis (28 Februari) dan dua hari kemudian beruang itu sekali lagi datang memakan madu yang ada.

"Bagaimanapun, kira-kira 4 pagi tadi, saya terdengar bunyi sesuatu dari perangkap dan pemeriksaan mendapati beruang itu berada di dalamnya.

"Kejadian ini menyebabkan 18 sarang kelulut yang diusahakan sejak tiga tahun lalu rosak dengan kerugian dianggarkan hampir RM15,000," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan penangkapan dua ekor beruang di Marang dan Dungun.

Katanya, beruang di Marang mula menganggu sejak dua minggu lalu manakala di Dungun, ia mula mengganggu sejak minggu lalu.

"Kedua-dua beruang matahari atau nama saintifiknya helarctos malayanus akan dihantar ke Taman Negara Terengganu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

SEEKOR beruang matahari yang berjaya ditangkap PERHILITAN Terengganu di Kampung Pengkalan Berangan. FOTO GHAZALI KORI
SEEKOR beruang matahari yang berjaya ditangkap PERHILITAN Terengganu di Kampung Pengkalan Berangan. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 4:50 PM