TERTUDUH berdepan pertuduhan mempromosikan permainan judi dalam talian di sebuah kondominium mewah. FOTO Siti Aminah Yusof.
TERTUDUH berdepan pertuduhan mempromosikan permainan judi dalam talian di sebuah kondominium mewah. FOTO Siti Aminah Yusof.
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mempromosikan permainan judi dalam talian di sebuah kondominium mewah, Selasa lalu.

Tertuduh, Ng Cheng Boon, 30, Kevin Lee Kai Wen, 30, Ooi Kah Chun, 20, Lim Wei Hong, 19, dan Ryan Lim Wei En, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Azlan Basri.

Semua tertuduh didakwa secara bersama-sama mempromosi permainan judi dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram menerusi sebuah laman sesawang di Kondominium The View, Jalan Bukit Gambir kira-kira jam 11.30 malam, pada 14 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, semua tertuduh juga berdepan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas, jika disabitkan bersalah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh namun peguam yang mewakili kesemua tertuduh, K Mahnendran merayu jaminan lebih rendah dikenakan kepada anak guamnya.

Mahendaran berkata, semua tertuduh mempunyai tanggungan dan mereka antaranya bekerja sebagai penghantar makanan, jurujual dan ejen hartanah dengan pendapatan serendah RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.

Katanya dua daripada tertuduh berkahwin dengan seorang daripada mereka iaitu Lim Wei En yang bekerja sebagai tukang masak mempunyai seorang bayi berusia tujuh bulan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 12:02 PM