MOHAMAD Ali Sabri (duduk, tengah) dan timbalannya, Mohamed Jamaluddin (duduk, dua dari kiri) menunjukkan salinan keratan berita mengenai sekatan visa umrah dan pelancongan ke Arab Saudi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
MOHAMAD Ali Sabri (duduk, tengah) dan timbalannya, Mohamed Jamaluddin (duduk, dua dari kiri) menunjukkan salinan keratan berita mengenai sekatan visa umrah dan pelancongan ke Arab Saudi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


KIRA-KIRA 2,000 jemaah umrah di Perak terjejas akibat sekatan sementara visa umrah dan pelancongan ke Arab Saudi susulan penularan wabak Covid-19.

Malah 60 peratus daripada jumlah itu adalah mereka yang baru pertama kali mahu melakukan umrah dan menjejakkan kaki ke tanah suci.

Pengerusi Persatuan Pengendali Umrah, Haji, dan Ziarah Perak (PUHAZ), Mohamad Ali Sabri berkata, perkara itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kerugian banyak kepada jemaah.

Katanya, ia hanya membabitkan penangguhan tarikh pelaksanaan ibadat sehingga sekatan berkenaan ditamatkan.

“Pemulangan semula wang akan dibuat bagi kes tertentu, khususnya jemaah yang tidak dapat menunaikan umrah selepas sekatan dihentikan kerana sebab tak dapat dielakkan seperti permohonan cuti ‘hangus’.

“Bagaimanapun bayaran yang dipulangkan tidak penuh kerana perlu mengambil kira kos pengurusan yang telah dibayar membabitkan pihak ketiga, selain sokongan kukuh membabitkan persetujuan syarikat,” katanya pada sidang media, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PUHAZ, Mohamed Jamaluddin.

Mohamad Ali berkata, setakat ini rata-rata jemaah memahami keadaan yang berlaku dan menerima penjelasan agensi dengan baik.

Sementara itu, Mohamed yang juga Pengurus KAKIB Safar Travel & Tours berkata, sekatan itu memberi kesan kepada 35 agensi pengendali pakej umrah serta pelancongan yang bernaung di bawah PUHAZ.

Katanya, turut terjejas pakej pelancongan muslim ke Indonesia, Thailand dan negara Timur Tengah, selain Jepun, Korea Selatan serta China.

“Apabila berlaku kes begini, kerugian kami tanggung banyak kerana bayangkan untuk satu kumpulan, kami ‘hilang’ sekitar RM200 ke RM500 bagi seorang, yang secara purata merangkumi 40 pelancong bagi setiap lawatan.

“Setakat ini, lima lawatan terpaksa dibatalkan oleh agensi kami membabitkan kunjungan ke Korea, Jepun, dan Indonesia,” katanya

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 4:44 PM