Mas Ermieyati (tengah) ketika sidang media pelaksanaan IMAMS di Putrajaya, hari ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
Mas Ermieyati (tengah) ketika sidang media pelaksanaan IMAMS di Putrajaya, hari ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


SISTEM Pengurusan Maklumat Bersepadu (IMAMS) akan menjadi satu-satunya akses rasmi kepada permohonan visa umrah di Malaysia berkuatkuasa hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sistem berkenaan mendapat persetujuan serta sokongan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur dan permohonan visa itu akan diproses oleh Konsul Besar Arab Saudi di Malaysia.

"Melalui sistem ini, setiap jemaah akan dikenakan caj pada kadar RM45 dan ia adalah kadar paling rendah di dunia berbanding negara lain yang mengguna pakai sistem seumpamanya.

"Selain itu, IMAMS juga bersesuaian dengan sistem milik Kerajaan Arab Saudi yang membolehkannya dihubungkan terus dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi untuk permohonan visa umrah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pelaksanaan IMAMS bagi Pengurusan Kawal Selia Umrah di Putrajaya, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, sistem berkenaan juga dapat memastikan setiap jemaah umrah turut dilindungi insurans takaful umrah dengan perlindungan yang komprehensif selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

"Ketika ini, pihak agensi pelancongan menyediakan perlindungan takaful secara berkelompok tetapi dengan perlindungan yang sangat minimum kepada jemaah malah tidak mencukupi untuk menampung kes kecemasan.

"Namun, menerusi sistem IMAMS ini, ia turut menawarkan perlindungan takaful kepada agensi pelancongan bagi jemaah di bawah kendaliannya pada kadar premium yang munasabah iaitu RM40 bagi setiap jemaah," katanya.

Menurutnya, kadar itu juga adalah terendah di pasaran bagi skim takaful perjalanan selain memenuhi kehendak kementerian.

"Mana-mana agensi pelancongan yang tidak menyediakan perlindungan setara atau lebih baik diwajibkan mengambil insurans takaful melalui sistem IMAMS.

"Caj keseluruhan bagi penggunaan sistem IMAMS adalah sebanyak RM90.10 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan, RM5.10 dan ia perlu dimasukkan dalam harga pakej Umrah sedia ada untuk setiap jemaah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 22 November lalu, kementerian sudah mengeluarkan lesen sebanyak 234 syarikat pengendali umrah terdiri daripada 65 syarikat pelancongan berstatus muasassah dan 169 syarikat pelancongan bukan berstatus Muasassah.

"Saya berharap orang ramai tidak lagi terpedaya dengan iklan yang terlalu 'menarik' dengan tawaran di bawah harga lantai pakej umrah iaitu RM4,900," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 12:36 PM