WARGA asing yang ditahan dalam Ops Belanja di sembilan premis di Jalan Bukit Bintang. FOTO NSTP
WARGA asing yang ditahan dalam Ops Belanja di sembilan premis di Jalan Bukit Bintang. FOTO NSTP
Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Segera berlakon menjadi pelanggan dengan memilih barang di sebuah kedai sebaik menyedari kemunculan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Itu antara gelagat tiga lelaki warga Bangladesh yang juga pekerja sebuah premis di Jalan Bukit Bintang di sini, sebaik kedai mereka diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun tindakan itu gagal mengaburi pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur yang terlebih dahulu membuat pemantauan di lokasi selama kira-kira 30 minit.

Malah ketika ditahan pada jam 3.30 petang semalam, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan lewat 20-an itu tidak mengaku mereka adalah pekerja kedai menjual aksesori dan hadiah itu.

Bagaimanapun, lakonan mereka tidak menjadi berikutan pihak JIM sudah memerhatikan gerak-geri mereka sejak dari awal.

Semua mereka didapati tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

WARGA asing yang ditahan dalam Ops Belanja di sembilan premis di Jalan Bukit Bintang. FOTO NSTP
WARGA asing yang ditahan dalam Ops Belanja di sembilan premis di Jalan Bukit Bintang. FOTO NSTP

Ketua Unit Risikan dan Operasinya, Mohd Shahrulnizam Ismail berkata, Ops Belanja itu memberi tumpuan kepada premis perniagaan aksesori dan alat komunikasi yang dikuasai warga asing di ibu kota.

“Operasi membabitkan 28 anggota dan pegawai JIM Kuala Lumpur bertindak memeriksa sembilan premis di Jalan Bukit Bintang di sini. Terdahulu, pihak kami mengambil gambar mereka sebagai bukti.

“Kami memeriksa 19 pekerja asing di setiap premis dan mendapati 17 daripada mereka melanggar pelbagai peraturan imigresen,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian besar daripada mereka yang ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja sah tidak mengaku bekerja di premis masing-masing dengan memberi pelbagai alasan.

“Bagaimanapun, kami lebih cekap kerana sudah memantau aktiviti mereka. Semua yang ditahan membabitkan 13 lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Indonesia dan tiga wanita warga Myanmar.

“Mereka didapati melanggar peraturan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pind.2002) serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 4:44 AM