ORANG ramai mengambil air perigi Hang Tuah di kampung Duyong. FOTO NAZRI ABU BAKAR
ORANG ramai mengambil air perigi Hang Tuah di kampung Duyong. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


PENINGKATAN mendadak penggunaan air Perigi Hang Tuah di Kampung Duyong, Melaka, berikutan catuan bekalan air kebelakangan ini menyebabkan ia semakin menyusut.

Perigi bersejarah yang tidak pernah kering sejak lebih ratusan tahun itu diakui penduduk menyusut beberapa meter akibat kekerapan pengambilan air selepas Melaka mengalami krisis air.

Penduduk kampung, Ismail Bujang, 60 berkata, bagaimanapun situasi itu tidak membimbangkan berikutan airnya kembali ke paras normal beberapa jam selepas itu.

“Pada mulanya kami khuatir jika airnya terus surut, namun lega ia hanya sementara walaupun pengambilan drastik termasuk digunakan untuk membasuh, mandi atau dibawa pulang.

“Dalam tempoh beberapa minggu catuan berjadual menjadikan perigi terbabit amat popular dalam kalangan penduduk setempat serta pelancong dalam negara," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya air menyusut pada sebelah petang, namun keesokan paginya kembali pada keadaan biasa.

Menurutnya, ketika membersihkan perigi itu beberapa tahun lalu, penduduk mengesan terdapat tiga mata air yang menjadi sumber perigi berkenaan dengan dua antaranya lebih kuat.

Katanya, penduduk gembira berikutan airnya kekal jernih, bersih, tidak berbau dan selamat walaupun pembangunan kian pesat dilaksanakan.

Perigi terbabit diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan kedalamannya dikatakan sehingga 1.8 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 5:52 PM