VEERAPAN (dua dari kiri) menyerahkan barangan dan wang tunai kepada Rasit sambil diperhatikan Nooramiliyana (kanan) serta adik beradiknya di Taman Matahari Indah, Senawang, Seremban, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
VEERAPAN (dua dari kiri) menyerahkan barangan dan wang tunai kepada Rasit sambil diperhatikan Nooramiliyana (kanan) serta adik beradiknya di Taman Matahari Indah, Senawang, Seremban, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


“WALAUPUN seorang daripada kami akan dijaga saudara sebelah arwah emak di Felda Tementi, Triang, Pahang, keputusan itu dibuat secara muafakat antara kami,” kata Nooramiliyana Amran.

Anak sulung lapan beradik yatim piatu itu berkata, semua adik perempuan termasuk dirinya akan menetap di rumah bapa saudara mereka, Rasit Isa, 30, di Taman Matahari Indah, Senawang, Seremban.

Katanya, dua beradik lelaki iaitu Muhammad Amirul Aiman, 16, dan Muhammad Amar, 15, akan tinggal bersama emak saudara, Norazilah Isa, 24, di Taman Seremban Selatan, Senawang.

“Mereka menumpang buat sementara di rumah emak saudara kerana kedudukan di situ berdekatan dengan sekolah mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seremban Jaya.

“Hanya Muhammad Amsyar, (3 tahun) akan mengikuti saudara sebelah emak di Felda Tementi kerana dia rapat dengan beliau sejak kecil," katanya.

Dia ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan barangan keperluan harian oleh syarikat yang juga rakan strategik Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, di rumah Rasit, hari ini.

Majlis penyampaian itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.

Lapan beradik yatim piatu ialah Nooramiliyana, 18, Muhammad Amirul Aiman, 16, Muhammad Amar, 15, Nooramiera Natasha, 12, Nooramiezatul Sofea, 9, Noor Zalisha Qaisara, 6, Muhammad Amsyar, 3, dan Noor Zalisha Husna, berusia setahun sembilan bulan.

Mereka kehilangan bapa, Amran Isa, 39, yang meninggal dunia pada petang 23 Januari lalu di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ), akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan buah pinggang.

Ibu mereka, Zalifah Abdul Wahab, 36, meninggal dunia di hospital sama akibat masalah pada usus, pada Ogos 2018.

Sementara itu, Rasit berkata, dia akan memastikan semua anak saudaranya itu dijaga dengan baik dan kepentingan serta masa depan mereka tidak akan diabaikan.

Menurutnya, walaupun ada tiga beradik yang terpisah dengan seorang yang agak jauh iaitu di Pahang, namun pihaknya akan aturkan pertemuan ahli keluarga itu diadakan sekerap mungkin.

“Saya akan pastikan hubungan adik beradik antara mereka terus erat bagi menjaga amanah arwah yang meminta menjaga anaknya dengan baik seperti anak kandung sendiri," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Nooramiliyana diberikan kuasa menentukan kedudukan adiknya selepas mereka kehilangan orang yang tersayang yang juga ketua keluarga.

Berita berkaitan

'Perkeso bantu lapan beradik yatim piatu'

'Jom kita tolong lapan beradik yatim piatu'

'Lapan beradik yatim piatu'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:46 PM