AHMAD Danish Ismail Omar, 14, pelajar yatim piatu yang menghuni asrama Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair Taman England Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
AHMAD Danish Ismail Omar, 14, pelajar yatim piatu yang menghuni asrama Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair Taman England Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Setiap kali menjelang Aidilfitri, saya akan teringatkan rendang ayam masakan ibu. Namun semua itu tinggal kenangan selepas ibu pergi buat selama-lamanya dua tahun lalu," ujar pelajar ,Ahmad Danish Ismail Omar, 14.

Tambah menyedihkan apabila ayahnya, Omar Yusof turut dijemput Ilahi ketika dia baru berusia tujuh tahun.

Menurutnya, ayahnya yang pernah berkhidmat sebagai kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu meninggal dunia pada 2014 kerana sakit paru-paru manakala ibunya, Fatimah Embong meninggal pada 2019 akibat kanser.

"Ketika hayatnya, ibu selalu masak masakan rendang ayam setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri. Masakan ibu sememangnya tiada tolok banding kerana rasanya yang enak.

"Tapi, sejak ibu pergi, saya tidak lagi dapat rasa masakan sebegitu, rasa sedih juga, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri," katanya ketika ditemui di asrama Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair di Taman England di sini, semalam.

Terdahulu, Pengerusi pertubuhan berkenaan, Rahman Musa menerima sumbangan daripada Dr Sukhilmi Othman bagi keperluan penghuni rumah kebajikan berkenaan dalam program Iftar Ramadan di sini, tadi.

Ahmad Danish berkata, keluarganya berasal dari Terengganu dan selepas kematian bapanya, mereka berhijrah ke sini bersama ibu saudara yang kini menetap di Taman Permai, di sini.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, abang dan kakaknya ketika ini masih menuntut di beberapa universiti awam dan pusat kemahiran tempatan.

Menurutnya, mereka kini hanya menumpang kasih kepada emak saudara dan sering berhubung antara satu sama lain bagi bertanya khabar.

"Abang dan kakak ada juga datang ke sini apabila ada waktu lapang. Tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, pertemuan itu agak terbatas.

"Mak cik (emak saudara) juga sering datang menjenguk saya sini. Alhamdulillah, di asrama ini semuanya lengkap dan ramai kawan," katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd Redza Sikamat itu berkata, dia terpaksa menumpang kasih di asrama itu selepas bergelar yatim piatu bagi membina masa depan yang cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 4:16 PM