GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


PERBUATAN dua farmasi di Kulai dan Johor Bahru menaikkan harga penutup mulut dan hidung menerima padah apabila dikompaun Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Johor.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, pemilik premis terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu menjual apa-apa barangan terkawal dengan harga yang tinggi dari harga kawalan.

Katanya, dua farmasi itu dikompaun pada 30 Januari dan semalam masing-masing dengan kadar kompaun RM500 dan RM10,000.

Katanya, susulan penularan wabak Koronasvirus Baharu, permintaan terhadap penutup mulut dan hidung meningkat.

“Sehubungan itu, KPDNHEP Johor menjalankan pemeriksaan ke atas penjualan penutup mulut dan hidung bermula 29 Januari lalu di farmasi, kedai ubat dan premis yang menjual peralatan itu di seluruh Johor.

“Sehingga hari ini, KPDNHEP Negeri Johor menjalankan sebanyak 135 pemeriksaan dan mengesan dua 2 kes melanggar Akta kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 di sekitar Kulai dan Johor Bahru,” katanya.

Kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi barang harga terkawal ke atas lima jenis penutup mulut dan hidung iaitu yang digunakan untuk pembedahan/perubatan satu lapisan gelung telinga berharga RM5 sekotak pada harga borong dan RM7 sekotak pada harga runcit.

Pembedahan/perubatan dua lapisan gelung telinga berharga RM8 sekotak pada harga borong dan RM10 atau RM0.20 sen seunit pada harga runcit.

Bagi penutup mulut dan hidung pembedahan/perubatan tiga lapisan gelung telinga/gelung kepala pula berharga RM25 sekotak pada harga borong dan RM0.80 sen seunit pada harga runcit.

Manakala pembedahan/perubatan tiga lapisan (ikatan pada kepala) berharga RM30 sekotak pada harga borong dan RM0.80 seunit pada harga borong.

Bagi penutup mulut dan hidung pembedahan/perubatan N95 berharga RM100 sekotak pada harga borong dan RM6 seunit pada harga runcit.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 2:37 PM