Penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa farmasi yang menjual topeng muka di sekitar Selangor semalam. Foto Ihsan KPDNHEP
Penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa farmasi yang menjual topeng muka di sekitar Selangor semalam. Foto Ihsan KPDNHEP
Mohd Azam Shah Yaacob


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah.

Ketua Komunikasi Korporat KPDNHEP Yunus Tasim berkata, tindakan tegas itu akan dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap penjualan lima jenis topeng muka yang sudah ditetapkan harganya sebagai barang harga terkawal.

Menurutnya, lima topeng muka itu merujuk kepada topeng muka pembedahan atau perubatan sama ada yang menggunakan gelung telinga atau gelung kepala selain ikatan di kepala.

“Bagi topeng muka gelung telinga yang menggunakan satu lapisan, harga borong yang ditetapkan adalah RM5 sekotak, manakala harga runcit adalah RM7 sekotak.

“Bagi topeng muka gelung telinga dua lapisan, harga borong yang ditetapkan pula adalah RM8 sekotak manakala harga runcit adalah RM10 sekotak atau 20 sen satu unit.

“Untuk topeng muka gelung telinga atau gelung kepala tiga lapisan pula, harga borong yang ditetapkan adalah RM25 sekotak, manakala harga runcit adalah 80 sen satu unit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Yunus, bagi topeng muka ikatan di kepala tiga lapisan, harga borong ditetapkan adalah RM30 dan harga satu unit adalah 80 sen.

Katanya, KPDNHEP turut menguatkuasakan harga terhadap topeng muka N95 pada kadar RM100 sekotak atau RM6 satu unit.

“KPDNHEP berharap agar pembekal serta peniaga dapat mengikuti senarai peruntukan harga maksimum yang ditetapkan itu.

“Sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut akta yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 4:32 PM