KOMANDER Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin menunjukkan gambar burung yang diselamatkan. FOTO MELVIN JONI
KOMANDER Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin menunjukkan gambar burung yang diselamatkan. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


AYAM pegar perak dan merak hijau antara 50 burung pelbagai spesis yang diselamatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dalam serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Krokong, Bau, Sarawak di sini, semalam.

Turut diselamatkan dalam serbuan bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) itu ialah dua itik, 11 ayam dan 16 kura-kura yang dipercayai untuk dijual oleh satu sindiket.

Kesemua haiwan itu adalah spesis yang dilindungi sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, semua haiwan berkenaan ditemui dalam Ops Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan pada jam 4.45 petang, semalam.

“Pemeriksaan menjumpai beberapa buah rumah burung yang mengandungi spesis dilindungi undang-undang.

“Semua haiwan yang dirampas diserah kepada SFC untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGA Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM92,000 dan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM25,000 atau penjara tidak kurang dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 3:46 PM