Antara haiwan yang dirampas SFC baru-baru ini. FOTO Ihsan SFC
Antara haiwan yang dirampas SFC baru-baru ini. FOTO Ihsan SFC
Garret Dawum


SARAWAK Forestry Corporation (SFC) merampas lebih 400 haiwan peliharaan dan hidupan liar dalam serbuan di sebuah ladang haiwan di Sibu minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan 38 spesies haiwan terlindung yang dipercayai disimpan secara haram.

“Semua haiwan yang dirampas adalah dilindungi oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES).

“Antara spesies haiwan terlindung yang dirampas adalah burung hantu, tupai dan burung kakak tua. Kami juga merampas kijang, burung punai, kura-kura, burung merak dan rusa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua haiwan yang dirampas akan dihantar ke Pusat Hidupan Liar Matang sebelum dihantar semula ke habitat asal.

“Saya menyeru pemilik kedai haiwan dan pengusaha ladang haiwan memohon serta memiliki permit atau lesen daripada Pengawal Hidupan Liar.

“Pemilik kedai haiwan perlu mendapat pengesahan berkenaan asal usul haiwan kerana menyimpan spesies terlindung boleh dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 manakala menyimpan haiwan terlindung sepenuhnya di Sarawak boleh dihukum penjara lima tahun dan denda maksimum RM50,000,” katanya.

Katanya, SFC akan terus mengadakan operasi berkenaan hidupan liar yang disyaki disimpan secara haram dalam usaha melindungi dan memulihara flora dan fauna di Sarawak.

Maklumat berkenaan perdagangan hidupan liar boleh disalurkan menerusi talian di Kuching (019-8859996,016-8565564), Sibu (019-8190140, 019-8894474), Bintulu (019-8223449, 019-8332737), atau (019-8224566, 019-8290994).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 12:40 PM