SISIK tenggiling yang dirampas. FOTO MELVIN JONI
SISIK tenggiling yang dirampas. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Sibu: Lelaki berusia 58 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM28.2 juta kerana memiliki pelbagai jenis burung dan hidupan liar termasuk 28,181 sisik tenggiling.

Mengesahkan perkara itu, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berkata Hakim Mahkamah Sesyen Marutin Pagan menjatuhkan hukuman selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

"Dia didakwa mengikut Seksyen 29(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998 kerana memiliki 22.14 kilogram (kg) sisik tenggiling di Kanowit, Sibu pada jam 10.30 pagi, 21 Januari lalu tanpa sebarang lesen atau kebenaran sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam satu Operasi Bersepadu Khazanah pada 21 Januari lalu, Pasukan Penguatkuasa SFC bersama PDRM telah membuat serbuan di sebuah premis kedai di Kanowit dan berjaya membuat tangkapan serta merampas bungkusan seberat 22.14 kg yang disyaki berisi kulit tenggiling, dua burung tiong, tiga burung punai, dua burung kapas tembak, tiga burung murai kampung, dua burung murai batu, dua burung perling mata merah, burung kakak tua, tiga labi-labi dan kura-kura.

Justeru, SFC menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat mengenai pihak yang menangkap, memburu, berniaga atau memelihara hidupan liar yang dilindungi.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian hotline SFC di 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu), atau 019- 8290994 (Miri). #kw sfc, hidupan liar, sisik tenggiling

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 5:35 PM