Foto Hiasan
Foto Hiasan
Mohamed Farid Noh

POLIS sedang mengesan individu yang menyebarkan berita palsu kononnya semua kawasan di Forest City di Johor Bahru ditutup kepada umum sehingga minggu hadapan berikutan wabak koronavirus baharu.

Berita palsu itu ditularkan menerusi akaun Facebook (FB) menggunakan nama Haziq Fahami.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, usaha mengesan individu berkenaan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat seorang pegawai perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru pada petang hari ini.

“Satu laporan polis dibuat hari ini oleh pegawai berkenaan berkaitan dengan penularan maklumat palsu mengenai penyebaran wabak koronavirus baharu di Forest City.

“Pengadu dalam kes itu mengesahkan bahawa penularan mesej oleh pemilik akaun FB berkenaan adalah tidak benar.

“Polis sedang mengesan serta mengenal pasti pemilik akaun FB terbabit untuk siasatan dan tindakan selanjutnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan medianya.

Kamarudin berkata, satu kertas siasatan sudah dibuka oleh pihaknya dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan membuat, menerbit atau mengedarkan apa-apa kenyataan khabar angin atau berita dengan niat menakutkan orang ramai.

“Ia membawa hukuman masing-masing penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan,” katanya.

Sementara ituu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut menafikan dakwaan terdapat dua kes jangkitan 2019 koronavirus baharu positif dikesan di Forest City seperti yang tular di media sosial.

JKNJ menerusi kenyataannya di FB berkata, berita itu adalah tidak benar sama sekali dan JKNJ sudah membuat laporan polis mengenainya.

“Orang awam diminta supaya tidak menyebarkan viral (berita) yang tidak sahih ini kerana akan menyebabkan situasi panik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 10:33 PM