AHSMON. FOTO Nurul Amanina Suhaini
AHSMON. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Mohamed Farid Noh

POLIS membuka kertas siasatan berhubung penularan laporan rasmi terkelas jangkitan wabak Covid-19 di Kota Tinggi, Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, ia supaya siasatan secara terperinci bagaimana laporan rasmi terkelas itu ditularkan kepada orang ramai dapat dilakukan.

“Kita akan siasat perbuatan menyebarkan laporan rasmi terkelas (berklasifikasi) yang dibuat untuk tujuan edaran dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun ditularkan kepada orang awam.

“Siasatan akan ditumpukan untuk mengenal pasti bagaimana berlaku kebocoran (laporan), ” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan atau laporan mengenai seorang anggota polis Bandar Tenggara dan keluarganya yang dijangkiti Covid-19 dan diarah dikuarantin selama 14 hari, seperti yang tular di media sosial.

JKNJ dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berkaitan kenyataan itu.

Laporan berkenaan yang tular sejak tengah hari semalam antara lain memaparkan laporan penuh berkaitan jangkitan Covid-19 dan pendedahan maklumat siasatan kontak di Bukit Besar, Kota Tinggi yang mendakwa seorang anggota polis dari Balai Bandar Tenggara dan keluarganya diarahkan dikuarantinkan selama 14 hari oleh Klinik Kesihatan Bukit Besar, Kota Tinggi.

Sementara itu, Ahsmon berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM)1988, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 4:43 PM