(kiri) LAPORAN polis yang dibuat JKNJ manakala (kanan) laporan palsu yang ditularkan.
(kiri) LAPORAN polis yang dibuat JKNJ manakala (kanan) laporan palsu yang ditularkan.
Mohamed Farid Noh


JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) membuat laporan polis berhubung tular laporan seorang anggota polis Bandar Tenggara dan keluarganya yang dijangkiti covid-19 hingga diarah dikuarantin selama 14 hari.

Sambil menafikan dakwaan seperti yang tular di media sosial itu, JKNJ dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berkaitan kenyataan hari ini.

Laporan berkenaan yang tular sejak tengah hari tadi antara lain memaparkan laporan penuh berkaitan jangkitan covid-19 dan pendedahan maklumat siasatan kontak di Bukit Besar, Kota Tinggi yang mendakwa seorang anggota polis dari Balai Bandar Tenggara dan keluarganya diarahkan dikuarantinkan selama 14 hari oleh Klinik Kesihatan Bukit Besar, Kota Tinggi.

“Orang awam diminta tidak menyebarkan laporan tular itu kerana ia akan hanya mengakibatkan situasi panik di kalangan masyarakat dan penduduk di kawasan berkenaan.

“Harus diingatkan penyebaran berita palsu sebegini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” kata kenyataan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 5:39 PM