ABDUL Aziz (tiga dari kanan) bersama komputer mengandungi perisian cetak rompak bernilai RM203,000. FOTO Togi Marzuki
ABDUL Aziz (tiga dari kanan) bersama komputer mengandungi perisian cetak rompak bernilai RM203,000. FOTO Togi Marzuki
Mohd Sabran Md Sani dan Togi Marzuki


PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Pontian menyita enam unit komputer mengandungi perisian cetak rompak bernilai RM203,000 dalam dua serbuan di daerah Pontian pada 13 dan 14 September lalu.

Ketua Cawangannya Abdul Aziz Omar berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan Gabungan Perisian Perniagaan (BSA) membabitkan dua syarikat di Pekan Nanas dan Pontian.

Katanya, serbuan pertama jam 12 tengah hari pada 13 September lalu dilakukan di premis yang menjalankan perniagaan perkhidmatan pembinaan di kawasan Perindustrian Alam Jaya di Pekan Nanas sebelum menemui sembilan perisian salinan bernilai RM69,000 di dalam tiga unit komputer.

"Perisian itu digunakan dalam aktiviti rekaan dan pengurusan syarikat, selain turut disita tiga unit komputer.

"Kami turut menahan seorang lelaki berusia 40-an yang juga pemilik syarikat perkhidmatan pembinaan bagi siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Pejabat PPDNKK Pontian, hari ini.

Katanya, serbuan kedua pada jam 10 pagi pada 14 September lalu menyita tiga unit komputer sebuah kilang alat ganti dan pembuatan di Bandar Pontian Jaya di sini, kerana mempunyai lapan perisian salinan langgaran bernilai RM134,000,"€ katanya.

Abdul Aziz berkata, seorang lelaki berusia 50-an ditahan dalam operasi kedua itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987.

"Kedua-dua suspek akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan denda tidak kurang RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap langgaran atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 1:24 PM