UGGAH. FOTO Arkib NSTP
UGGAH. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak merancang menaik taraf kemudahan beberapa lagi hospital bagi menyediakan kemudahan untuk merawat pesakit Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia adalah tambahan kepada projek menaik taraf kemudahan di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.

Beliau berkata, hospital yang dicadang akan dinaik taraf kemudahan sesuai untuk rawatan Covid-19 itu ialah Hospital Bau, Hospital Serian, Hospital Sri Aman, Hospital Betong, Hospital Sarikei, Hospital Kapit dan Hospital Limbang.

"Cadangan sudah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Hazland Abang Hipni (GPS-Demak Laut) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Uggah berkata, bagi meningkatkan keupayaan pengesanan jangkitan Covid-19, Makmal Molekular Perubatan untuk ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) sudah dibina di Hospital Umum Sarawak.

"Makmal berkenaan turut dikembangkan ke Hospital Sibu, Hospital Bintulu, Hospital Miri dan Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan," katanya.

Katanya, ketika ini makmal di Hospital Umum Sarawak di Kuching mampu melakukan 1,000 ujian rt-PCR sehari, manakala di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan (500 ujian sehari), Hospital Sibu (300 ujian sehari), Hospital Bintulu (200 ujian sehari) dan Hospital Miri (400 ujian sehari).

"Dengan bantuan dana peruntukan oleh kerajaan negeri, pembinaan sebuah Makmal Molekular Perubatan baharu di Hospital Limbang juga sedang diusahakan dengan kapasiti 200 ujian sehari.

"Bagi fasiliti perubatan swasta pula, makmal perubatan yang dapat menjalankan ujian Covid-19 yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ialah Makmal Perubatan, Borneo Medical Centre (BMC)," katanya.

Mengenai perancangan strategik Sarawak untuk menangani wabak Covid-19 dan wabak virus lain pada masa depan, Uggah berkata, JPBN sudah merangka langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan Sarawak menghadapinya.

"Selepas beberapa bulan melalui pengalaman yang amat mencabar JPBN sudah menimba pengetahuan dalam memahami cara mengendali Covid-19 dan wabak rabies.

"Kita juga belajar daripada pengalaman dan pengurusan beberapa negara yang berjaya memutuskan rantaian Covid-19 dengan berkesan seperti Korea Selatan, New Zealand dan China yang menggunakan strategi full-containment iaitu dengan ujian yang ketat agresif, pengesanan, pengesanan kontak, kuarantin serta pengasingan dan berjaya mengurangkan krisis kesihatan dan krisis ekonomi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 12:43 PM