GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni

SEORANG lelaki yang pernah menjalani hukuman penjara dua tahun lalu, sekali lagi ditahan polis selepas dia disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Simunjan.

Lelaki berusia 23 tahun itu menjadi buruan polis sejak hampir sebulan lalu selepas menceroboh dan merompak di dua rumah berdekatan pekan itu.

Menyedari polis memburunya, lelaki terbabit bersembunyi di sebuah kampung di Batu 12, Jalan Puncak Borneo, Padawan, namun dia dapat dikesan dan ditangkap petang semalam.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Merbin Lisa, penahanan suspek itu susulan laporan daripada seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun pada 25 Disember lalu.

Katanya, rumah lelaki warga emas terbabit dipecah masuk pada tengah malam melalui pintu belakang.

“Ketika itu mangsa berada di dalam bilik dan terdengar pintu belakang rumahnya diumpil tetapi tidak berani keluar atas faktor keselamatan.

“Keesokannya dia mendapati satu unit komputer riba dan tabung wang syiling miliknya hilang dengan kerugian dianggarkan RM3,000,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

KOMPUTER riba yang ditemui semula. FOTO Melvin Jon
KOMPUTER riba yang ditemui semula. FOTO Melvin Jon

Merbin berkata, suspek yang ditahan mengaku memecah masuk rumah mangsa dalam kejadian yang dilaporkan itu.

Katanya, suspek turut mengaku sudah menjual komputer riba yang dicurinya, namun tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Simunjan berjaya menemuinya semula, semalam.

“Suspek juga mengaku terbabit dengan satu lagi kes pecah rumah di kawasan sama apabila mencuri rim aloi kereta dan satu tong gas dengan nilai kerugian kira-kira RM1,000.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan semakan rekod lampau mendapati dia pernah dipenjara selama enam bulan pada 2018 atas kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 12:19 PM