Basikal dan pelbagai peralatan pecah rumah yang dirampas daripada suspek. FOTO MELVIN JONI
Basikal dan pelbagai peralatan pecah rumah yang dirampas daripada suspek. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Kegiatan pecah rumah seorang lelaki yang berselindung dengan aktiviti berbasikal pada tengah malam terbongkar apabila dia ditahan pada waktu Subuh oleh pasukan cegah jenayah Balai Polis Padungan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, suspek lingkungan 30-an itu ditangkap di Jalan Petanak sekitar jam 3.45 pagi, hari ini.

"Pemeriksaan ke atas beg yang dibawa oleh suspek menjumpai pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah seperti pemotong dawai, pemutar skru, spanar boleh laras, spanar gabung, pemutar skru, lampu suluh dan juga pisau kecil.

"Malah, suspek turut gagal memberikan keterangan munasabah berkenaan pemilikan sebenar basikal yang digunakannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek mengaku pernah memecah masuk sebuah pejabat kelas tuisyen di Jalan Mendu pada Julai lalu.

Merbin berkata, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine.

"Suspek mengaku melakukan kegiatan pecah rumah dan curi untuk mencari wang mudah bagi membeli bekalan dadah," katanya.

Merbin berkata, suspek direman sehingga 7 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:26 PM