KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM), M Kula Segaran. FOTO NSTP
KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM), M Kula Segaran. FOTO NSTP
Samadi Ahmad


KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, perluasan keselamatan sosial pekerja serta memperkasakan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang menjadi antara fokus pada 2020.

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, kerajaan dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan sedang mengadakan rundingan dengan Jepun untuk menghantar pekerja berkemahiran ke negara itu.

Menurutnya, memorandum kerjasama (MOC) bagi tujuan itu dijangka ditandatangani pada Mac tahun ini.

Menurut beliau, KSM juga terbabit secara langsung dalam inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysia@Work) bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

"KSM juga akan memperkemas perkhidmatan pekerjaan awam dengan fungsi JobsMalaysia dipindahkan ke bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO. Melaluinya, pegawai JobsMalaysia dikekalkan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi memperkukuh aktiviti penguatkuasaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Amanat Menteri Sumber Manusia Sempena Tahun Baharu 2020 di Putrajaya tadi.

Turut hadir, Timbalannya Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar.

Kula Segaran berkata, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri akan diperluaskan kepada 20 sektor lain seperti nelayan, petani, penjaja dan penggiat seni.

Menurut beliau, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah turut dilaksanakan untuk memberi liputan perlindungan kepada suri rumah di bawah Skim Hilang Upaya Kekal dan Skim Keilatan.

Katanya, Skim No Fault Accident (NFA) akan diperkenalkan untuk memberi perluasan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu bekerja.

"Bagi memperkasa latihan teknikal dan vokasional (TVET) pada pekerja, kementerian akan mengadakan kerjasama strategik bersama industri dan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) yang akan diperluaskan dengan menyasarkan 100 perjanjian ditandatangani.

"Antaranya adalah memorandum persefahaman, memorandum perjanjian, perkongsian pintar, latihan dan pengeluaran dan nota kerjasama.

"KSM turut membuka peluang latihan selepas waktu pejabat dari jam 5 petang hingga 11 malam di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dengan sasaran melatih 40,000 pekerja".

"Di bawah Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) pula, kerajaan akan melatih 45,000 pekerja bagi persijilan dan 650,000 pekerja bagi latihan semula untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah dana PSMB".

"KSM turut bercadang untuk memberikan pengecualian fi dan caj bagi yuran sijil JPK sebanyak RM100 kepada semua pelajar ILJTM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 5:49 PM