FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Baharom Bakar


KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sepatutnya sudah membuat kajian dan mendapatkan maklum balas sebelum menguatkuasakan pelaksanaan pemakaian kasut dan stokin hitam.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri, Datuk Razali Idris menegaskan, ibu bapa sudah menerima baik pemakaian kasut dan stokin hitam yang berkuat kuasa awal Januari lalu.

Katanya, kenyataan terbaru menerusi surat pekeliling dikeluarkan KPM kelmarin dan tular di media sosial mengejutkan pelbagai pihak terutamanya ibu bapa serta warga pendidik.

“Selepas kenyataan itu dikeluarkan, timbul pelbagai persoalan termasuk mengaitkan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik seperti menggunakan kuasa vetonya tanpa mendapatkan maklum balas KPM untuk menguatkuasakan pemakaian kasut dan stokin hitam itu.

“Sepatutnya isu pemakaian kasut dan stokin hitam sudah selesai, dan tidak perlu lagi diadakan kajian maklum balas, ” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di Kuala Terengganu, hari ini.

Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan KPM yang memohon kerjasama pihak sekolah membantu melakukan kajian dengan melengkapkan maklum balas bagi soalan kajian mengenai pemakaian kasut dan stokin hitam.

Berdasarkan pekeliling ditandatangani Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Datuk Mohd Jamil Mohamed, KPM berpandangan terdapat keperluan untuk melakukan kajian pelaksanaan pemakaian kasut hitam oleh murid berdasarkan dapatan diperoleh pihak sekolah.

Pemakaian kasut dan stokin hitam dilaksanakan secara berperingkat bermula sesi persekolahan 2019 hingga 2021 berdasarkan Pekeliling Iktisas KPM Bilangan 10 Tahun 2018.

Razali berkata, ia dilihat seolah-olah ada usaha pihak KPM mensabotaj pelantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemangku Menteri Pendidikan.

“Saya berharap Dr Mahathir dan KPM dapat membuat keputusan sewajarnya agak perkara ini tidak membebankan pelajar, ibu bapa serta guru,” katanya.

Berita berkaitan

Kumpul data pelaksanaan kasut, stoking hitam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 3:18 PM