Razali Idris tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk memberi keterangan. - FOTO Rosli Ilham
Razali Idris tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk memberi keterangan. - FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham


Chukai: "Saya beri kerjasama yang baik. Semuanya berjalan lancar," kata Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris sebaik selesai memberi keterangan kepada polis hari ini, susulan kenyataannya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Razali memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dengan ditemani peguamnya, Nizam Amin pada 10 pagi serta diiringi 20 penyokong.

Razali berkata, beliau memberi kerjasama yang baik kepada pegawai siasatan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas dari Bukit Aman.

"Saya dirakam percakapan kira-kira setengah jam berkaitan kenyataan saya ketika pelancaran kempen jentera pilihan raya minggu lalu.

"Sebanyak 16 soalan saya jawab. Semuanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan itu.

Rabu lalu, SPRM membuat laporan polis berhubung satu hantaran aplikasi TikTok yang dipercayai tidak tepat serta menjejaskan kepercayaan orang awam kepada sistem penguatkuasaan dan perundangan negara.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, menerusi hantaran dibuat pemilik akaun @wancin11, Razali telah mengeluarkan beberapa tuduhan palsu.

Razali didakwa membuat tuduhan itu dalam satu ceramah ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.

Pada ceramah itu, Razali berkata jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan perpaduan selain turut mempertikaikan keputusan hakim mahkamah tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Susulan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 2:39 PM