ADHIF Syan. FOTO NSTP.
ADHIF Syan. FOTO NSTP.
BERNAMA

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Syan Abdullah digantung jawatan Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor.

Turut digantung jawatan ialah Penolong Setiausaha ARMADA Nasional Ahmad Redzuan Mohamed Shafi.

Ketua ARMADA Nasional Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ketetapan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Ketua Armada Nasional.

“Penggantungan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan polis mengenai kes berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq kemungkinan besar merujuk kepada siasatan polis susulan penahanan 17 individu dan penemuan sejumlah dadah di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Puchong pada Isnin.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, jawatan Ketua ARMADA Selangor akan dipangku Timbalan Ketua ARMADA negeri, Anas Akashah Nazri manakala, Exco ARMADA Nasional Danial Syahiran Ho Imran Ho memangku jawatan Penolong Setiausaha ARMADA Nasional.

“Pihak ARMADA mendoakan semoga siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan adil mengikut lunas undang-undang negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 1:17 PM