KEMALANGAN di simpang Kampung Kakus-Sebuy. FOTO ihsan Bomba
KEMALANGAN di simpang Kampung Kakus-Sebuy. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


WANITA maut selepas kereta dinaikinya bersama tiga yang lain termasuk isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz, bertembung dengan lori di simpang Kampung Kakus-Sebuyau, hari ini.

Mangsa, Poziah Udin, 64, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.

Pemandu kereta, Izat Al-Hakim Khairul Azizi, 23, yang tersepit berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke Hospital Simunjan untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, isteri ADUN Kalaka itu, Datin Fatimah Zainudin yang duduk di kerusi penumpang bahagian depan mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Sebuyau untuk rawatan.

Dua lagi wanita termasuk mangsa yang meninggal dunia duduk di bahagian belakang dan mereka dikeluarkan orang awam sebelum kehadiran pasukan penyelamat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.48 pagi.

Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan dikejarkan ke lokasi, bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Anggota kami hanya membantu mengalihkan kenderaan yang dinaiki mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian kereta yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuching ke Kabong.

Setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan bertembung dengan sebuah lori ketika melalui satu selekoh tajam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:18 PM