PASUKAN SAR membawa mayat mangsa ke jeti Kampung Hulu Kabong. -Foto KHALID LATIP
PASUKAN SAR membawa mayat mangsa ke jeti Kampung Hulu Kabong. -Foto KHALID LATIP
Khalid Latip


“RASA terkilan tidak sempat menyelamatkannya. Hati saya sebak melihat tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan,” kata Nasir Aris, 35, saksi kejadian kes lemas di Kampung Hulu Laut, Saratok, petang semalam.

Mangsa, Aziz Sofian Rosli, 27, dilaporkan hilang kira-kira jam 5 petang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kabong.

Mayat ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di bawah koordinasi Balai Bomba dan Penyelamat Saratok pada jam 9.10 pagi tadi.

Difahamkan, mayat ditemui di Muara Sungai Endo, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Nasir berkata, dia sempat melihat mangsa mandi di sungai itu dengan hanya memakai seluar jeans tetapi tidak berbaju.

“Tidak lama selepas itu, saya nampak tangannya terkapai-kapai. Saya berlari ke jeti dan terjun ke sungai untuk menyelamatkannya, namun arus terlalu kuat.

“Kemudian, saya bergegas berenang ke jeti meredah arus deras menggunakan segala kudrat yang ada sebelum meminta bantuan penduduk kampung,” katanya.

Nasir berkata, sebelum kejadian, mangsa ke rumahnya untuk menjual ikan salai sebelum turun mandi di sungai berkenaan.

“Kejadian ini berlaku ketika hujan lebat dan air pasang besar,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kabong, Nazry Mohamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.20 petang.

Bertindak atas maklumat itu, operasi SAR dilancarkan dengan bantuan penduduk kampung.

Mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:36 AM