LAPORAN portal berita Harian Metro, Sabtu lalu mengenai mangsa cedera di kepala dan menerima 15 jahitan selepas terkena tayar basikal yang dibaling dari tingkat atas PPR Gombak Setia.
LAPORAN portal berita Harian Metro, Sabtu lalu mengenai mangsa cedera di kepala dan menerima 15 jahitan selepas terkena tayar basikal yang dibaling dari tingkat atas PPR Gombak Setia.
Teoh Pei Ying dan Nurul Hidayah Bahaudin


ENAM kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyaksikan kejadian dan membantu remaja lelaki cedera akibat terkena tayar basikal yang dibuang dari tingkat atas di PPR Gombak Setia, Kuala Lumpur, sudah tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, enam lelaki itu memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 12.30 tengah hari ini.

“Kami baru saja dimaklumkan kakitangan DBKL itu sudah tampil memberi keterangan, tengah hari tadi.

“Difahamkan ketika kejadian, mereka yang bertugas sebagai pemantau lalu lintas di kawasan berkenaan menyaksikan kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, setakat ini, lapan individu terdiri daripada penghuni PPR dan kakitangan DBKL sudah diambil keterangan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut mengenai kes ini masih berjalan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan remaja, Muhammad Iqmal Abdul Razak, 19, cedera di bahagian kepala dan menerima 15 jahitan selepas terkena tayar yang dibuang dari tingkat atas blok PPR terbabit, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa menunggu rakannya di tempat letak motosikal sebelum terasa sesuatu objek terkena di atas kepalanya yang dipercayai dibuang dari tingkat atas blok PPR terbabit.

Berita berkaitan

'Saksi kes campak tayar dicari'

'Kepala terasa macam meletup'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 9:35 PM