KEBAKARAN ladang kelapa sawit di Jalan Pesisir Pantai Bintulu, Miri.
KEBAKARAN ladang kelapa sawit di Jalan Pesisir Pantai Bintulu, Miri.
Erika George

DUA penjaga kantin di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Pesisir Pantai Bintulu Miri di sini, rentung dalam kebakaran malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, dua mangsa rentung yang terperangkap dalam kejadian jam 8.45 malam itu dikenali sebagai Wong Ling Poung, 47 dan Lee Hua Hing, 23.

"Mayat mangsa lelaki warga tempatan itu ditemukan anggota Bomba dan Penyelamat Bintulu di bilik tidur manakala seorang lagi dijumpai di bahagian kaunter pembayaran," katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mungkin sedang tidur ketika kebakaran berlaku dan tidak sempat menyelamatkan diri.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Bintulu di lokasi kejadian.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Bintulu di lokasi kejadian.

Pasukan bomba katanya, bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada 9 malam.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan bangunan kedai struktur tidak kekal itu.

"Bomba mengambil masa hampir empat jam bagi memadam kebakaran yang mana api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1 pagi," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah dan kejadian diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 2:13 PM