Nur Saliawati Salberi


DUA penganggur berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas cubaan melanggar anggota polis, dalam kejadian Disember tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shamsul Abu Hassan, 46, dan Sarudin Rahman, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan cubaan bunuh terhadap Lans Koperal Muhamed Hazwal Mohamed Zambri dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat.

Kesalahan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat Taman Rambai Utama, Melaka, pada 6 petang 24 Disember 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman mencadangkan kepada mahkamah jaminan RM5,000 diberikan kepada setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan mereka tidak bekerja.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.

Mahkamah turut menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 3:21 PM
SARUDIN (kiri) dan Mohd Shamsul diiringi polis di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.
SARUDIN (kiri) dan Mohd Shamsul diiringi polis di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.