Nur Lela Zulkipli


PENUNTUT kolej swasta yang tular selepas kereta yang dipandunya melanggar seorang anggota polis trafik, sedang bertugas, kelmarin dijatuhi penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Majistret M Saravanan membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Tan Wooi Zhan, 25, selepas mengaku bersalah memandu secara melulu dan membahayakan keselamatan orang awam, dua hari lalu.

Mahkamah turut mengenakan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal bayar denda selain lesen memandu digantung tiga tahun dari tarikh jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, Wooi Zhan didakwa memandu kenderaan Mercedes Benz miliknya secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis trafik yang sedang bertugas, Mohamad Aniq Ariz Mohd Kassim, di persimpangan lampu isyarat Jalan Hishamuddin, Dang Wangi, di Kuala Lumpur, jam 8.11 pagi, kelmarin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum dibawah Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

TERTUDUH keluar dari mahkamah. FOTO Zunnur Al Shafiq
TERTUDUH keluar dari mahkamah. FOTO Zunnur Al Shafiq

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Zuraidi Zulkifli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kesalahan dilakukan itu membabitkan kecederaan terhadap anggota trafik yang sedang bertugas.

“Tertuduh didapati memandu kenderaannya dengan laju sehingga hilang kawalan dan tidak peka terhadap keadaan sekeliling.

“Mohon juga hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan hukumannya memandangkan ibu bapanya sudah bersara dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Semalam, seorang anggota polis trafik berpangkat konstabel tercampak selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu tertuduh di persimpangan lampu isyarat di Jalan Raja Laut menghala ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera pada kaki dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

Video kejadian berkenaan yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) tular dalam laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 2:41 PM