TUJUH lelaki dihadapkan ke mahkamah Majistret Georgetown, hari ini, atas dakwaan melakukan provokasi. FOTO ihsan pembaca
TUJUH lelaki dihadapkan ke mahkamah Majistret Georgetown, hari ini, atas dakwaan melakukan provokasi. FOTO ihsan pembaca
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Dua daripada empat individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, Tanjung Tokong, di sini, Ahad lalu.

Tertuduh, Shahrizal Anuar, 38, dan Mohd Safwan Akbar, 29, membuat pengakuan bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Manakala, dua lagi tertuduh, Mohd Hafiz Nasri Shah, 28, dan Mohd Danial Al Arabia Mohd Rafi, 24, bagaimanapun meminta dibicarakan atas pertuduhan sama.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membuat provokasi terhadap tiga anggota polis di simpang lampu isyarat Jalan Tanjung Tokong, di sini, pada 5.40 petang 17 Januari lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman terhadap Shahrizal dan Mohd Safwan.

Manakala, 25 Februari depan ditetapkan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap Mohd Hafiz dan Mohd Danial Al Arabia.

Mahkamah turut menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap keempat-empat tertuduh.

Sementara itu, keempat-empat mereka bersama tiga yang lain iaitu Azizul Mohamad, 45; Mohd Idris Ayob, 25, dan Danish Ikmal Mohd Shafiq Samugam, 20, di mahkamah sama mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi dan masa yang sama.

Kesalahan didakwa mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Mahkamah menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman serta membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap semua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Komisioner Siti Hajar Jaafar, manakala hanya Danish Ikmal diwakili peguam, Mohd Rafiee Noordin.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan gambar dan video tular di media sosial mengenai dua lelaki parah akibat terjatuh daripada motosikal selepas mendakwa ditendang dua anggota polis.

Menerusi video berkenaan, orang ramai tidak berpuas hati dan melakukan provokasi terhadap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang dikatakan menendang motosikal mangsa.

Namun, laporan polis oleh pemandu kereta, mendapati dua lelaki terbabit yang tidak memakai topi keledar melarikan diri daripada polis dan melanggar lampu isyarat merah sebelum terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan.

Seorang daripada penunggang motosikal terbabit juga mengakui tidak berlaku insiden mereka ditendang anggota polis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 4:33 PM