SUSPEK diberkas polis. FOTO ihsan polis
SUSPEK diberkas polis. FOTO ihsan polis
Garret Dawum


PERBUATAN empat lelaki mencuri ayam proses dari tempat kerja mereka membawa padah apabila semuanya diberkas di sebuah pasar raya di Kota Sentosa, Kuching, 24 Disember lalu.

Semua suspek berusia 21 hingga 32 tahun ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pada jam 5.10 petang.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kegiatan suspek dikesan apabila pengurus pasar raya terbabit melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Berdasarkan rakaman itu, tiga daripada suspek dilihat sedang mengambil ayam proses daripada stor pasar raya sebelum diserahkan kepada seorang pemandu lori untuk dijual.

“Siasatan awal mendapati ayam dijual bagi mendapatkan wang untuk kegunaan peribadi dan dilakukan sejak Mei lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati pasar raya terbabit kerugian sebanyak RM90,000.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 2:21 PM