SUSPEK diikat di tiang oleh pekerja pasar raya. FOTO ihsan pembaca
SUSPEK diikat di tiang oleh pekerja pasar raya. FOTO ihsan pembaca
Norsyazwani Nasri


TINDAKAN seorang lelaki datang semula ke sebuah pasar raya di Kota Sentosa di Kuching, semalam selepas mencuri mentega beberapa bulan lalu membawa padah apabila dia ditahan pekerja pasar raya berkenaan.

Difahamkan suspek berusia 31 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah dadah dan curi ditahan pekerja pasar raya selepas dilihat mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, terdahulu pengurus pasar raya berkenaan dimaklumkan pekerjanya mengenai kegiatan lelaki itu.

"Pengurus terbabit kemudiannya menyedari lelaki terbabit pernah mencuri barang di pasar raya itu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

"Suspek dikatakan mencuri beberapa tin mentega dalam pasar raya itu beberapa bulan lalu," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, ketika tangkapan dibuat tiada barang ditemukan dalam pemilikannya.

"Suspek diserah kepada pihak polis dan ditahan reman untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 4:53 PM