Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Husni Mohd Noor

INDAH Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sudah menutup 26 lurang kumbahan (manhole) di sekitar loji rawatan kumbahan di Bandar Bukit Mahkota, Bangi.

Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi kenyataan di Facebook badan kawal selia industri perkhidmatan air itu hari ini.

Menurutnya, penutupan itu dibuat bertujuan mengelak aktiviti pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang kumbahan itu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Ia (penutupan) bertujuan mengelakkan perbuatan pembuangan sisa secara haram pada masa hadapan.

“Sehingga hari ini, 26 manhole sudah ditutup,” katanya.

SPAN dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pencemaran bau pada sumber bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih adalah berpunca daripada pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang kumbahan IWK oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pencemaran bau pada sumber bekalan air itu menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan air terawat yang disalurkan kepada pengguna.

Ia menyebabkan gangguan kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 7:05 PM