KAKITANGAN LUAS membuat pendosan 'activated carbon' untuk memstabilkan kualiti air berhubung insiden pencemaran bau di Loji Kumbahan IWK, Bukit Mahkota, Bangi, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
KAKITANGAN LUAS membuat pendosan 'activated carbon' untuk memstabilkan kualiti air berhubung insiden pencemaran bau di Loji Kumbahan IWK, Bukit Mahkota, Bangi, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
Mohamad Hussin


INDAH Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menegaskan isu penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, semalam bukan berpunca daripada operasi rawatan air sisa kumbahan dijalankan di loji IWK.

Menurut jurucakap Jabatan Komunikasi Korporat IWK, ia berlaku akibat pembuangan sisa tidak dibenarkan secara haram berdekatan dengan loji IWK.

Beliau berkata, petugas IWK menerima panggilan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada 2 petang semalam, bergegas membuat siasatan segera di Loji Olahan Air Sisa Kumbahan IWK (HLT219) Bandar Mahkota, Bangi, bagi mengenal pasti punca bau dilaporkan Air Selangor.

“IWK bersama pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan di loji berkenaan dan mendapati punca bau berasaskan bau bahan kimia berada dua kilometer dari loji IWK itu.

“Pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor turut bersama ketika pemeriksaan ini dijalankan.

“IWK bersama JAS membuat laporan polis mengenai pembuangan sisa secara haram berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pada 10 malam tadi, bersama bantuan pihak polis dan IWK membuka beberapa lurang pembetungan (manhole) di sekitar kawasan terbabit dan mendapati bau berkenaan bermula di lurang pembetungan terbabit.

Menurutnya, pihak polis turut membuat pemeriksaan di loji IWK berkenaan.

Katanya, pada 1 pagi hari ini, LUAS dan Air Selangor sekali lagi membuat pemeriksaan di loji IWK terbabit dan membenarkan IWK untuk meneruskan operasi seperti biasa.

“Loji rawatan air kumbahan hanya direka bentuk untuk merawat air kumbahan saja dan ia tidak mampu merawat bahan kimia atau sisa lain dilepaskan secara haram ke dalam jajaran paip pembentungan.

“IWK amat kecewa kerana sering menjadi sasaran mudah kepada sebarang kejadian pencemaran air seperti kejadian ini tanpa membuat pemeriksaan rapi atau mendapat maklumat secara menyeluruh.

“Kita sentiasa memastikan kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 7,000 loji di bawah seliaan IWK sentiasa mengikut spesifikasi serta prosedur ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Berita berkaitan

Pencemaran bau di sumber air mentah

204 kawasan bakal terjejas gangguan bekalan air

Loji Sungai Semenyih kembali beroperasi

Siapa punya kerja pula ni?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 3:25 PM