GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hamzah Osman


TOKAN dadah nekad mahu terjun sungai untuk melepaskan diri daripada ditahan polis di Taman Nilam di Langkawi, semalam.

Bagaimanapun, hasratnya terbantut selepas ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dalam Ops Tapis.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 21 tahun ditahan polis pada 6 petang.

“Terdahulu, anggota polis mengesan suspek berada dalam keadaan mencurigakan di tepi sungai berhampiran taman perumahan itu.

“Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif dan cuba berlari ke arah sungai untuk terjun sebelum ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pemeriksaan lanjut menemui 49 keratan straw berisi bahan terlarang disyaki dadah jenis heroin seberat 16.66 gram.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah morfin, selain turut memiliki rekod jenayah lampau bersangkutan dadah.

“Suspek mengaku menerima bekalan dadah heroin terbabit daripada seorang lelaki yang menetap di kawasan perumahan sama,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 9:58 AM