TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) mengetuai Larian Bendera Ulang Tahun UMNO Ke-71 selepas menerima bendera UMNO daripada Ahmad Bashah di sempadan negeri di pertengahan Jambatan Merdeka, Kepala Batas. FOTO Danial Saad
TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) mengetuai Larian Bendera Ulang Tahun UMNO Ke-71 selepas menerima bendera UMNO daripada Ahmad Bashah di sempadan negeri di pertengahan Jambatan Merdeka, Kepala Batas. FOTO Danial Saad
Zulfa Mohamad


Kepala Batas: Sambutan bendera UMNO atau Sang Saka Bangsa dari Kedah di Jambatan Merdeka, dekat sini, dipenuhi elemen tradisi sinonim dengan budaya masyarakat Melayu, petang ini.

Upacara penyerahan bendera berkenaan diketuai Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican jam 5 petang.

Ketibaan rombongan Ahmad Bashah disambut dengan paluan gendang, pencak silat, skuad berkuda serta persembahan chingay oleh masyarakat Tionghua dan tertera perkataan UMNO Pulau Pinang.

Reezal yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata, acara sambutan larian bendera UMNO tahun ini menampilkan kelainan berbanding sebelum ini iaitu diberi sentuhan tradisi dengan 300 ahli UMNO memakai baju T serba merah.

"Selain gendang dan silat yang sinonim dengan masyarakat Melayu, perarakan tujuh ekor kuda dari UMNO Bahagian Permatang Pauh membawa mesej UMNO sudah mengetuai pentadbiran negara ini selama tujuh dekad.

"Persembahan chingay pula membabitkan masyarakat Tionghua tetapi yang berkibar ialah UMNO Pulau Pinang sebagai lambang masyarakat majmuk yang menjadi teras pentadbiran negara," katanya.

Sang Saka Bangsa kemudian dibawa ke Wisma UMNO di sini, sebelum acara larian memasuki Bahagian Tasek Gelugor, Bagan, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal dan seterusnya ke Parit Buntar, Perak.

Reezal berkata, acara larian bendera UMNO di Pulau Pinang dijangka mengambil masa selama dua hari membabitkan 7,000 orang sebagai simbolik pemerintahan selama tujuh dekad.

gambar Danial Saad dan Amir Irsyad Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 11:02 PM